Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menawarkan diri sebagai pengantara bagi menamatkan 'keretakan' di antara badan induk bola sepak negara itu dengan Tan Sri Annuar Musa.
Menurut baginda, semua pihak harus mengakui sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh Annuar dalam memajukan bola sepak tanah air khususnya di Kelantan.
"Kita perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja baik yang
dilakukan oleh Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan
adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengalami kesan buruk
daripadanya.
"Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh memberi tumpuan kepada
faktor-faktor mitigasi yang wujud bagi menyelesaikan perkara ini secara damai
demi kebaikan bola sepak Malaysia," baginda bertitah dalam satu kenyataan hari
ini.
Pada 4 April lepas, Jawatankuasa Disiplin FAM menjatuhkan hukuman
penggantungan selama 30 bulan ke atas Annuar, yang juga Presiden KAFA daripada
sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri kerana mendapati
beliau bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola
sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM, pada 12 Feb lepas.
Mengikut peraturan FAM itu, hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja
yang dibolehkan memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Annuar adalah Timbalan
Presiden FAM.
Tengku Abdullah yang kesal dengan keputusan yang dikenakan oleh jawatankuasa
tersebut ke atas Annuar disebabkan berada di luar negara ketika itu,
bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa jawatankuasa berkenaan telah
menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka sebaik mungkin.
"Saya sesungguhnya mempercayai bahawa proses undang-undang yang sewajarnya
telah dipatuhi," titah baginda.
Tengku Abdullah menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan baginda
pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Feb lepas bukanlah satu arahan
sebaliknya lebih bersifat nasihat kepada semua pegawai FAM untuk mematuhi
perlembagaan badan induk bola sepak negara itu.
Hasil mesyuarat itu telah memutuskan bahawa hal-hal FAM tidak boleh
disebarkan kepada media dan perlu dibawa berbincang di dalam jawatankuasa
eksekutif FAM terlebih dahulu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment