Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata langkah Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyenaraihitam pelajar yang tidak
membayar pinjaman mengaibkan golongan berkenaan.
Katanya PTPTN
perlu mendapatkan semula hutang tersebut namun beliau berpendapat bahawa
langkah menyenaraihitam itu harus dilakukan sebagai langkah terakhir.
"Kita cadangkan supaya mekanisme lain digunapakai untuk senaraihitam... Saya rasa senarihitam adalah langkah terarkhir.
Walaupun
PTPTN kata ia adalah langkah terakhir, tapi saya percaya kita boleh
cari kaedah lain, untuk mencari peminjam yang tidak dapat dikesan atau
belum membuat pembayaran," katanya.
Tambahnya, Pemuda Umno sedia
bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO untuk mengesan peminjam
supaya mereka dapat membuat pembayaran tersebut.
Beliau berkata
demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutupan
Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional di ibu negara petang ini.
Resolusi
rundingan antara 160 orang wakil siswa dan kumpulan NGO itu juga
sebulat suara memutuskan supaya tindakan penyenaraian hitam itu
dimansuhkan.
Resolusi itu juga memutuskan agar bayaran perkhidmatan satu peratus yang dikenakan ke atas peminjam dimansuhkan.
Ia
turut menuntut supaya bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam
telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan
RM3,000 ke atas, bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.
Selain
itu, mereka juga menuntut supaya pinjaman kepada pelajar Sabah dan
Sarawak untuk belajar di Semenanjung Malaysia ditambah dan ia meliputi
harga tiket penerbangan dua kali setahun, sekaligus sidang itu
mempertahankan kewujudan PTPTN.
Khairy berkata beliau berjanji
akan menyampaikan resolusi tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak selepas ini untuk pertimbangan sewajarnya.
Turut
hadir dalam sidang media Ketua Pegawai Operasi PTPTN Wan Ahmad Wan Yusof
dan Setiausaha Agung Pemuda Datuk Megat Firdaus Megat Junid.
No comments:
Post a Comment